Kulai, 30 April 2020.
Sebanyak 603 unit PPE telah diserahkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (Hospital Kulai).
Jumlah itu terdiri dari 244 helai gown, 174 pasang boot, 125 helai tudung dan 60 pasang shoe cover.
Sumbangan telah disampaikan secara bersama oleh Pengurus Besar Yayasan Pendidikan Hidayah, Tuan Haji Ahmadon Bakri, Ketua Wanita IKRAM Johor, Hajah Sumilah Marto dan Ketua Projek, Dr Siti Kamariah Othman.
Pengarah Hospital, Dr Sharath Chandran A/L Subhas Chandran telah mewakili Hospital menerima sumbangan ini.
Pada 21 April 2020 , IKRAM Johor dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Hidayah (YPH) dan Hospital Kulai telah melancarkan Projek PPE Untuk Barisan Hadapan. Ia menelan belanja kira-kira RM11,000. Dana dikutip dari sumbangan awam menggunakan platform YPH (https://yayasanhidayah.my).
Projek ini bertujuan menyediakan PPE bagi kegunaan petugas barisan hadapan (frontliners) yang sentiasa bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik COVID-19, demi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.
Seramai 37 sukarelawan terdiri dari ahli IKRAM Johor telah mengambil bahagian. Namun untuk mematuhi peraturan PKP, hanya 16 orang dibenarkan bertugas dalam satu-satu masa.
Demi menjaga keselamatan dan menjamin kualiti PPE, satu SOP (Safe Operating Procedure) telah dibangunkan oleh pakar-pakar di kalangan ahli IKRAM sendiri.
Pada 26 April 2020, taklimat media berkaitan projek in telah dibuat. Ia kemudiannya telah disiarkan melalui RTM 1, The Star, theSundaily dan Sinar Harian.
Sejak bencana COVID-19 melanda tanahair, YPH telah melancarkan dua tabung rayuan derma iaitu Tabung Bencana COVID-19 dan Tabung PPE Untuk Barisan Hadapan.
Kini, sempena bulan Ramadan penuh barakah, YPH sedang menjalankan kempen kutipan derma bernama Tabung Infaq Ramadan. Ia dikhususkan untuk membantu Fakir Miskin, Pembelajaran Tahfiz dan Sekolah Islam.





