Johor Bahru, 22 September 2020.
Seramai enam orang anak yatim mendapat bantuan makanan dan minuman berupa sarapan pagi dan makan tengahari pada setiap hari persekolahan dari Yayasan Pendidikan Hidayah (YPH).
Demikian menurut Pengurus Besar YPH, Tuan Haji Ahmadon Bakri dalam ucapannya semasa meraikan anak yatim dalam satu majlis ringkas Penyampaian Bantuan Kepada Anak Yatim di Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH), Johor Bahru.
Selain makanan dan minuman, mereka juga mendapat bantuan mask boleh guna semula dan telekung bagi yang perempuan.
Bantuan disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar bagi pihak YPH dengan disaksikan oleh Guru Besar, Ustazah Hajah Rohaida Ridwan dan beberapa guru SRIH.
Menurut Tuan Haji Ahmadon lagi, bantuan makanan ini telah bermula sejak 30 Ogos 2020 dan akan berakhir sehingga sesi persekolahan 2020 tamat pada bulan Disember 2020.
Tajaan makanan ini dilaksanakan dengan cara ibu-ibu anak yatim memesan makanan dan minuman melalui KANTIN ONLINE menggunakan eKUPON yang disediakan khas oleh YPH.
Guru Besar dalam ucapannya pula mengucapkan terima kasih kepada YPH. Ini kerana dengan bantuan ini anak-anak yang kesedihan akibat kehilangan ayah tersayang berasa gembira dan lega kerana ada pihak yang membantu meringankan kesukaran hidup mereka.
YPH menyediakan dana khas untuk kebajikan anak yatim dengan nama DANA ANAK YATIM. Ia bertujuan untuk membantu anak-anak yatim yang memerlukan bantuan. Bantuan ini terbuka kepada umum.
Orang ramai yang berhajat membantu kebajikan anak-anak yatim bolehlah menyalurkan bantuan mereka melalui dana ini. Sila klik link berikut untuk membantu.